Salam Pengenalan

Assalamualaikum dan selamat malam semua,

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya memuat turun "blogger template" untuk menggantikan template asal.

Saya Noor Raihana Binti Ali. Saya berasal dari Pengerang, Johor. Sesi pengenalan diri ini adalah satu sesi yang agak segan saya lakukan. Seingat saya, saya kali pertama dikehendaki membuat pengenalan diri, ketika saya berada di tingkatan enam bawah di Sekolah Menengah Tun Habab, Kota Tinggi.  Rasa macam tebal seinci muka saya ketika memperkenalkan diri saya di khalayak ramai. Rakan baik saya, seorang gadis seusia saya dan dia berbangsa India, ketawa terbahak-bahak ketika saya menceritakan pengalaman itu, kenangan mengusik jiwa.  Tetapi kali ini, sesi pengenalan saya kepada anda diluar sana adalah di alam maya. Sama sahaja rasanya, masih ada rasa segan. InsyaAllah, niat saya ingin memperkayakan jaringan silaturrahim serta mengeratkan lagi ukhwah sesama umat manusia, khusus umat nabi Muhammad.

Minat saya di dalam bidang komputer ini bercambah, ketika abah saya membeli sebuah komputer peribadi sekitar tahun 1994. Bayangkan hampir 21 tahun dahulu, minat saya pada kecanggihan komputer menyebabkan saya tertarik meneruskan pengajian di dalam bidang teknologi maklumat di Sintok, Kedah. Hampir 15 tahun saya menghabiskan waktu saya bergelumang dengan dunia pengaturcaraan yang kebanyakkannya di dalam aplikasi web. Perjumpaan dengan pengguna-pengguna aplikasi dan perbincangan projek pembangunan aplikasi yang kebanyakannya di dalam aplikasi untuk penggunaan di pelabuhan. Saya masih meminati bidang ini sehingga sekarang, lagi-lagi zaman "hi tech" dengan segala macam penemuan baru di dalam bidang IT. Tetapi saya perasan sekarang ini, saya lebih meminati pelbagai bidang pula sekarang ini. Rasa macam semuanya hendak dicuba.

Saya sudah tidak melakukan pengaturcaraan komputer lagi setelah meninggalkan bidang itu lebih kurang 6 tahun yang lepas untuk mencuba sesuatu yang baru, bidang kesihatan. Walaupun bidang berbeza, saya masih ada aplikasikan kemahiran IT yang tidak seberapa ini di dalam bidang tersebut. Banyak masa di habiskan untuk membaca,membaca dan membaca tentang bidang kesihatan, terutama penjagaan kesihatan ini. Bidang kesihatan apa? Ia adalah bidang kesihatan Homeopathy.

Ternyata bidang ini, bukanlah "kegilaan" saya, tetapi saya sangat prihatin dan menyokong usaha-usaha di dalam bidang ini untuk memartabatkan kesihatan yang bebas 100% dari kesan sampingan dan komplikasi ubat-ubatan. Tambahan lagi, saya memang "die hard fan" perubatan Homeopathy. Tiada ubat lain yang saya amalkan semenjak saya berusia 18 tahun lagi.  Apabila saya sakit, saya tidak tunggu-tunggu untuk mendapatkan rawatan Homeopathy kerana ianya berkesan, efektif, cepat dan sangat-sangat selamat. Apa guna sakit tapi masih tetap sakit?

Dengan pengamalan gaya hidup aktif, corak pemakanan sihat dan seimbang, pemantapan kerohanian diri yang konsisten, pengisian otak dengan ilmu-ilmu bermanfaat serta pengambilan ubat-ubat yang selamat 100% adalah faktor-faktor yang membantu membangunkan kesihatan diri yang optimum. Secara logik pun kita sudah tahu, mana ada orang tidak sakit kat dunia ni, rasulullah pun sakit, inikan kita, bukan rasul, bukan nabi, bukan wali Allah juga bukan malaikat, pasti penyakit tetap terkena pada diri kita. Hanya jenis penyakit dan cara kita mendapat penyakit tidak ketahuinya dari awal.

Di dalam bidang teknologi maklumat dan dunia perubatan Homeopathy saya mempelajari satu kemahiran yang tinggi nilainya, kemahiran berkomunikasi dan bersosial. Saya perlu melakukan "presentation" yang hampir beratus kali, saya belajar menyantuni pelanggan yang memberikan pulangan rezeki untuk saya, saya menjiwai rasa jujur di dalam berbicara kerana ia mendatangkan ketenangan apabila bertugas, saya mengasah fikiran dengan bacaan - bacaan ilmiah, saya belajar menghalusi jiwa pelanggan supaya mereka rasa senang berurusan dengan saya, saya belajar bertoleransi dengan rakan sekerja yang tidak sebulu dan banyak lagi yang saya tidak dapatkan coret di sini.

Saya cukup tertarik  dengan penghasilan sesuatu produk/bahan yang kreatif, cantik, ringkas dan praktikal. Saya juga suka mencuba resepi yang di dapati di dalam buku-buku resepi, resepi masakan mama saya serta resepi-resepi ringkas, mudah dan berkhasiat. Saya gemar kepada buku-buku dan bacaan kecuali novel cintan cintun saya cuba elakkan dari membacanya. Saya bermohon pada Allah suatu hari saya di rezekikan dengan mini perpustakaan yang bersih, moden, ringkas dan cantik beserta dengan ribuan buku-buku di dalam rumah saya.

Inilah serba ringkas mengenai diri saya, saya akhiri dengan sebuah doa,

"Ya Allah, tuhan sekalian alam, ampuni dosa-dosa kami, jadikan kami hambaMu yang taat pada perintahMu dan pencinta Rasulullah yang mencontohinya di dalam urusan kehidupan kami."
                                                                                                                                                  ...... Amin.

No comments:

Powered by Blogger.